Ahad, 8 Januari 2012

Jom Singgah Ke Pekan Rabu


Salam kepada semua,

Bagaikan tidak lengkap lawatan anda ke Kedah , terutamanya ke bandaraya Alor Setar sekiranya anda tidak berkesempatan singgah ke Pekan Rabu.

Itulah yang boleh disimpulkan kepada mereka yang pertama kali berkunjung ke negeri Jelapang Padi ini kerana Pekan Rabu adalah merupakan antara tempat yang menarik untuk anda lawati kerana ia merupakan sebuah pusat perniagaan orang Melayu yang tersohor sejak tahun 1930-an lagi.



Mempunyai sejarahnya yang unik dan tersendiri , Pekan Rabu jugalah merupakan 'pentas awal' bagi mantan Perdana Menteri Ke-4 , Tun Dr. Mahathir Mohamad menceburi diri di dalam dunia perniagaan.

Perniagaan yang diceburi oleh beliau ketika itu ialah menjual beras.


Perubahan demi perubahan seiring peredaran zaman telah memantapkan lagi kemudahan infrastruktur di kompleks perniagaan bumiputera yang terbesar di utara tanahair ini. Jikalau dahulunya , aku masih ingat lagi sekiranya kita turun dari bas di perhentian di seberang jalan Pekan Rabu , kita terpaksa mendaki anak-anak tangga jejantas yang agak tinggi juga untuk melintas ke Pekan Rabu.

Kini ia cuma tinggal kenangan manis yang boleh diceritakan oleh generasi muda sekarang bilamana adanya kewujudan sebuah 'eskalator' (tangga karan kata orang-orang Kedah) yang memberikan kemudahan kepada para pengunjung.



Dahulu juga sekiranya berjalan di atas jejantas yang lantainya dari kepingan papan , anda boleh melihat samar-samar kenderaan yang lalu di bawahnya dengan panas matahari membakar anda kerana ia tiada berbumbung.Tapi kini segala-galanya sungguh selesa.



Sebenarnya , kenangan di Pekan Rabu ini juga turut kekal terpahat di ingatanku kerana ia juga merupakan tempat pertama aku bekerja setelah aku menamatkan alam persekolahan aku dahulu. Walaupun tempohnya cuma beberapa bulan sahaja , namun pengalaman berharga yang aku kutip ketika menjadi pembantu di kedai minuman emak saudara benar-benar menyediakan aku untuk mengharungi realiti kehidupan ketika itu.




Pelbagai jenis kedai yang terdapat di Pekan Rabu , dari menjual pakaian , barangan kemas dan perhiasan , ubat-ubatan , buku-buku , makanan dan kuih-kuih tradisional (seperti kuih bahulu , kuih karas , emping beras , air gamat) , hinggalah ke barangan moden dan antarabangsa seperti seluar jeans , jersi bola , handphone dan peralatan muzik. Dan ia seratus peratus diusahakan oleh orang Melayu.




Pekan Rabu menjadi tumpuan masyarakat berbilang kaum dan pelancong dari dalam dan luar negara yang singgah untuk mencari sesuatu untuk dijadikan cenderamata atau buah tangan untuk dibawa pulang sebagai kenangan.




Apabila menjelangnya sesuatu perayaan yang seperti Hari Raya Puasa , Pekan Rabu dan kawasan persekitarannya akan menjadi sesak dengan gerai-gerai yang dibuka menjual persiapan raya seperti kuih-muih dan pakaian.

Begitu juga apabila tiba musim Haji , bakal-bakal jemaah yang akan pergi mengerjakan Haji di Tanah Suci akan singgah ke Pekan Rabu untuk mencari kelengkapan Haji.

Begitulah dekatnya Pekan Rabu di hati masyarakat tempatan.


Pelbagai jenis barangan yang dijual di sini. Dari produk buatan tempatan hinggalah kepada produk yang diimpot dari luar negeri.


Kebanyakkan peniaga di sini masih mengamalkan lagi konsep tawar-menawar di dalam menjual barangan mereka.

Sekiranya anda bernasib baik , anda akan dapat membeli pada harga yang berpatutan sekiranya anda pandai dalam tawar-menawar dengan peniaga. Namun bukan semua barangan yang harganya boleh ditawar.

  
Kalau hendak diikutkan banyak lagi perkara-perkara menarik yang hendak aku ceritakan mengenai Pekan Rabu ini tetapi tidak mungkin akan dapat aku huraikan satu persatu di ruangan ini.

Jadi , kepada anda yang belum pernah menjejakkan kaki ke Pekan Rabu , jikalau anda berkunjung ke Kedah , janganlah lupa untuk singgah ke Pekan Rabu untuk merasai suasananya.

Mai Cek Oi Mai Cek Mai!!!

Wassalam.

tandatangan

1 ulasan:

KLIK UNTUK TINGGALKAN KOMEN ANDA