Salam kepada semua,
Mungkin ada di antara anda yang pernah berkunjung ke Menara Alor Setar. Kepada yang tidak berkesempatan , mungkin entry ini akan membuatkan hati anda supaya lebih teruja untuk menikmati keindahan panorama dari Menara Alor Setar.
Sedikit info mengenai Menara Alor Setar.
Menara Alor Star yang berketinggian 165.5 meter yang dimiliki oleh Telekom Malaysia (TM) telah dibuka secara rasminya untuk kunjungan umum pada 14 Ogos 1997 dan ia merupakan menara telekomunikasi yang ke 19 tertinggi di dunia, dan yang kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur.
Anda akan tertarik dengan keindahan lanskap yang terdapat di sekitar perkarangan Menara Alor Setar ini di mana terdapat sebuah taman bunga dan permainan untuk kanak-kanak yang terletak bersebelahan dengannya. Ia amat sesuai untuk riadah seisi keluarga selain menjadi antara salah satu spot yang menarik untuk tujuan fotografi.
Untuk berada di bahagian atas Menara Alor Setar , anda dikehendaki untuk membeli tiket masuk dengan bayaran sebanyak RM 6 untuk orang dewasa dan RM 3 untuk kanak-kanak. Tiket tersebut boleh dibeli di kaunter yang terletak betul-betul di bawah Menara Alor Setar ini.
Jangan bimbang sekiranyan anda memerlukan bantuan atau pertanyaan kerana keramahan dan layanan mesra kakitangan Telekom Malaysia yang bertugas di Menara Alor Setar ini yang sedia membantu anda pada bila-bila masa.
Sementara menantikan ketibaan lif yang akan membawa anda ke bahagian atas Menara Alor Setar , anda boleh membelek-belek koleksi barang-barang yang dipamerkan di bahagian lobi berdekatan yang menerangkan serba sedikit maklumat mengenai Menara Alor Setar selain juga terdapat beberapa jenis barangan yang boleh dijadikan sebagai cenderahati.
Terdapat dua buah lif yang beroperasi di Menara Alor Setar ini dan ketika berada di dalam kedua-duanya anda dapat melihat ke bahagian luar menara kerana dindingnya diperbuat dari kaca dan anda akan merasai sedikit daya G-force kerana ia akan bergerak agak laju dan terus mendaki sehingga 100 meter ke bahagian atas!
Di bahagian atas Menara Alor Setar terdapat empat platform (pelantar).
Platform pertama dibuka kepada pelawat untuk menikmati pemandangan bandaraya Alor Setar dan kawasan sekitarnya sejauh mata memandang dari ketinggian kurang dari 90 meter. Selain itu terdapat gerai menjual cenderamata dan makanan ringan di bahagian tersebut.
Ruangan pemerhati ini berbeza dengan apa yang terdapat di Menara Kuala Lumpur kerana ia 'terbuka' , di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan secara 'live' aktiviti harian warga Alor Setar sambil dapat menghirup udara segar kerana ruangan ini hanya dipagari dengan pagar besi sebagai langkah keselamatan.
Terdapat 6 teropong yang disediakan di sekeliling ruangan pemerhati ini dan ia adalah percuma (dulu kena bayar!) dan anda boleh menggunakannya untuk melihat secara dekat pemandangan-pemandangan menarik di luar sana.
Platform kedua terletaknya Restoran Berputar di mana anda boleh menikmati menu hidangan tempatan sambil tempat makan anda berputar 360 darjah secara perlahan-lahan. Platform ketiga pula terdapat ruangan yang serba lengkap dengan kemudahan untuk seminar dan mesyuarat. Manakala di Platform keempat pula merupakan 'Open Deck', tanpa pagar , dan di situ selalunya berlangsung aktiviti terjunan tahunan BASE (Buildings, Antennae, Spans and Earth).
Wassalam....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
KLIK UNTUK TINGGALKAN KOMEN ANDA