Ahad, 15 Januari 2012
Hebatnya Masjid Terapung Tanjung Bunga
Salam kepada semua,
Baru-baru ini aku berkesempatan untuk singgah dan bersolat Asar di Masjid Terapung di Tanjung Bunga , Pulau Pinang ketika kunjungan aku ke pantai peranginan Batu Feringgi atas satu urusan kerja.
Walaupun teramat singkat singgahan ke situ , sempat juga aku mengambil beberapa keping foto untuk dijadikan kenang-kenangan dan dikongsikan bersama anda sebagai tampalan entry kali ini.
Masjid Terapung ini dibina di atas permukaan laut sejauh 300 meter dari kawasan pantai kaya dengan ciri-ciri senibina moden yang berkonsepkan "mutiara' selari dengan jolokan Pulau Pinang yang dikenali sebagai negeri Pulau Mutiara.
Keunikkan dan kecantikkan masjid ini yang dikatakan mampu untuk memuatkan lebih kurang 1000 orang jemaah ini di ruangan solatnya juga menarik perhatian para pengunjung yang datang tidak kira dari dalam ataupun luar negara.
Jadi ia sesuatu yang tidak menghairankan sekiranya terserempak dengan beberapa orang pelancong berbangsa Eropah yang berpakaian tidak menutup aurat bersiar-siar di kawasan persekitaran Masjid Terapung ini.
Walaupun begitu sekiranya mereka ingin memasuki ke bahagian dalam masjid , jubah dan tudung disediakan untuk mereka untuk menjaga adab dan kesucian rumah Allah ini.
Keunikan Masjid Terapung diperkukuhkan lagi dengan menara azan setinggi tujuh tingkat yang dihiasi dengan ukiran kayu jati dan seni khat kaligrafi dari Indonesia. Mozek dan seramik yang berwarna-warni terdapat di bahagian luar dan dalam masjid untuk memberi pencahayaan dan hasil yang lebih menarik apabila dipandang selain memasang siling putih di bahagian kubah.
Bagi mencantikkan lagi kawasan Masjid Terapung , reka bentuk tembok pagar bercorak bunga matahari dipasang di sekeliling dan kawasan pintu hadapan masjid tersebut. Hampir setiap hari, Masjid Terapung mengadakan program dan aktiviti keagamaan seperti kelas tajwid, hadis, tauhid, fardu ain dan bacaan Yasin oleh guru-guru agama dari sekitar negeri Pulau Pinang.
Tanjung Bunga di mana terletaknya Masjid Terapung ini sememangnya popular di kalangan penduduk dan pelancong sebagai pantai perkelahan dan juga destinasi makanan laut kerana wujudnya perkampungan nelayan tradisional yang sudah turun-temurun menangkap ikan menggunakan bot-bot kecil.
Peristiwa tsunami yang melanda negeri di utara Semenanjung pada 26 Disember 2004, membuktikan Masjid Terapung kukuh dari segi binaannya dan ia bukan sahaja terselamat daripada bencana tsunami tetapi juga menjadi benteng penahan ombak yang mungkin boleh mengakibatkan kemusnahan lebih teruk dialami penduduk kampung sekitar Tanjung Bunga.
Subahanallah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
KLIK UNTUK TINGGALKAN KOMEN ANDA