Selasa, 17 April 2012

Usaha Tangga Kejayaan

Salam kepada semua.

Hidup ini lebih bermakna sekiranya kita berjaya mencapai sesuatu kejayaan. Tidak kiralah kejayaan yang dikecapi itu adalah untuk kepuasan peribadi mahupun sesuatu yang bersifat boleh dikongsi bersama.


Namun setiap kejayaan mestilah diiringi dengan usaha gigih yang berterusan selain doa dan tawakal. Ibarat sekumpulan pendayung perahu yang bertanding di dalam sesuatu pertandingan lumba perahu , segala kudrat dan tenaga dikerah sehabis-habisnya dalam usaha untuk  muncul yang pertama sampai ke garisan penamat.


Namun sekiranya berjaya , jelas bahawa kejayaan yang dikecapi itu amat sukar untuk diucapkan dengan kata-kata.


Nota: Gambar-gambar dirakam ketika Perlumbaan Perahu Panjang sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah di Alor Setar pada 31 Mac yang lalu.

Wassalam...

tandatangan

Khamis, 5 April 2012

Rumah Tradisional Warisan Bangsa

Rumah Tok Su yang terdapat di Kampung Warisan di Alor Setar , Kedah.

Salam kepada semua.

Terletak berhadapan dengan Wisma Darul Aman dan berhampiran Taman Jubli Perak, terdapat sebuah 'kampung' yang unik iaitu Kampung Warisan yang menempatkan dua buah rumah tradisional Melayu Kedah iaitu Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai yang berdindingkan kayu meranti atau temak dan beratapkan rumbia.

Untuk rekod, Kampung Warisan telah dibuka kepada lawatan umum sejak dari tahun 2001 dan semenjak itu yang kedua-dua rumah tradisional Melayu Kedah tersebut yang dipercayai berusia lebih dari 80 tahun menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu.

Keistimewaan dan keunikkan kedua-dua rumah ini terletak kepada kehalusan di dalam seni ukiran bunga kerawangnya yang menghiasi ruang bahagian rumah seperti beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar.

Setiap sudut ruang rumah tersebut mempunyai fungsinya yang tersendiri , berbeza dengan ciri kediaman masa kini yang mempunyai lebih banyak ruang peribadi seperti bilik khas.

Rumah zaman dahulu tidak mempunyai bilik dan setiap ruang hanya dipisahkan dengan kain pemidang (langsir) dan kebanyakan ruangnya adalah berkonsep terbuka seperti anjung, beranda dan pelantar.

Rumah tradisional tersebut bukan asalnya dibina di tapak tersebut atau juga dari kawasan berhampiran bandaraya Alor Setar tetapi kedua-dua rumah tersebut telah dipindahkan dari tapak asalnya dari dua lokasi yang berbeza.

Rumah Tok Su dipindahkan dari lokasi asalnya iaitu di Kampung Permatang Kerat Telunjuk di daerah Bandar Baharu yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandaraya Alor Setar manakala Rumah Seri Banai pula berasal dari Kampung Banai di dalam daerah Kubang Pasu.

Nama rumah Seri Banai diberikan sempena lokasi asal rumah berkenaan manakala rumah Tok Su pula bersempena dengan nama panggilan untuk anak bongsu kepada pemilik asal rumah itu.

Pada awalnya proses pemasangan semula rumah-rumah berkenaan  agak rumit serta memakan masa yang lama iaitu selama kira-kira hampir 4 bulan selain kos pemindahannya yang tinggi.

Mengikut sejarah , rumah Seri Banai pernah dijadikan sebagai sekolah rakyat pada waktu dahulu di lokasi asalnya.

Manakala rumah Tok Su pula pernah dijadikan sebagai lokasi untuk mesyuarat gerakan politik dan pertemuan anggota Pergerakan Barisan Pemuda yang memperjuangkan hak-hak bangsa Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Idea asal untuk memelihara kedua-dua rumah tersebut di Kampung Warisan ini datangnya dari bekas menteri besar Kedah (1995-1999), iaitu Tan Sri Sanusi Junid yang mahu memartabatkan warisan dan mengekalkan identitinya sebagai seni bina tradisional untuk penghayatan generasi masakini dan akan datang.

Hasrat tersebut menjadi kenyataan apabila Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai telah menjadi lokasi untuk penyelidikan para pelajar jurusan seni bina dari institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Pengurusan rumah-rumah tersebut diletakkan di bawah penyeliaan Lembaga Muzium Negeri Kedah dan kerana keunikan senibina tradisionalnya kedua-dua rumah tersebut sering  dijadikan lokasi pengambaran untuk filem, majalah serta dokumentari.- Sumber.

Wassalam.


tandatangan

Selasa, 3 April 2012

Refleksi...


Salam kepada semua,

Seringkali, sesuatu benda atau perkara yang kita lihat di dunia ini sebenarnya ia hanyalah suatu 'cerminan' atau boleh dikatakan ilusi semata-mata walhal yang sebenarnya realiti itu memang ada terpampang di depan mata.

Seperti gambar di atas , tumpuan awal pastinya ke arah imej bayang-bayang di dalam air sedangkan realitinya dalam keadaan yang terkalih. Begitu mudah sekali mata terpedaya dan akal lantas menafsir sesuatu yang tidak benar.

Itulah hakikat yang sebenarnya di dalam kehidupan di dunia ini . Jangan terus mempercayai apa yang dilihat tanpa berfikir atau meneliti ia terlebih dahulu.

Wallahualam...

tandatangan