Selasa, 20 Disember 2011

Misteri Hantu Langsuir Di Kulim Perdana , Betul atau Tidak?...

Salam kepada semua,
Baru-baru ini gempar di dalam sebuah akhbar tempatan mengenai kisah penemuan misteri hantu langsuir. Kebetulan pula tempat kejadian yang dilaporkan itu berada berhampiran dengan tempat kerja aku dan aku juga selalu melalui kawasan terbabit.
“Penduduk di Taman Kulim Perdana dekat sini digemparkan dengan penemuan lembaga wanita berambut panjang, serba putih yang sering bertenggek di palung air di selekoh masuk ke taman perumahan itu pada waktu malam”.
Itu mukadimah laporannya. Sila klik SINI untuk membaca kisahnya.

Selain cerita itu dipetiksiarkan ke beberapa laman blog tertentu , ia turut menjadi buah mulut kepada semua penduduk Kulim dan kawasan-kawasan berhampiran. Ada yang membacanya dari akhbar berkenaan kemudian bercerita kepada orang lain yang tidak membaca. Ada pula yang mendengar cerita berkenaan kemudian menyampaikan kepada orang lain yang mungkin langsung tidak tahu.
Maka tidak hairanlah sekiranya wujud pelbagai versi dari kisah yang sama.
Akhbar itu melaporkan bahawa para penduduk di kawasan berkenaan ‘gempar’ , tetapi orang yang diwawancara  oleh akhbar itu bukanlah penduduk di Taman Kulim Perdana , tetapi orang luar.
Dari situ aku mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan laporan akhbar berkenaan. Apabila aku bertanyakan mengenai cerita ini kepada seorang rakan yang kebetulan tinggal di Taman Kulim Perdana , jawapan yang diperolehi menafikan cerita tersebut.
Laporan berkenaan juga memetik kenyataan oleh seorang bomoh yang arif mengenai ilmu halus yang mengatakan kemungkinan langsuir ini merupakan seorang wanita yang terbunuh ketika bersalin atau dibunuh di sekitar kawasan itu.
Selepas cerita berkenaan , terbit pula kisah dari akhbar yang sama mengatakan bahawa wartawan mereka berjaya merakamkan imej hantu berkenaan. Sila klik SINI untuk membaca kisahnya.
Dilaporkan bahawa imej berkenaan berjaya dirakamkan lensa kamera pada jam 2:45 pagi , menunjukkan imej putih yang kabur dan tidak dikenali berada berhampiran seorang lelaki yang sedang duduk di atas besi penghadang.
Yang peliknya , jika dibandingkan gambar dari laporan pertama dan kedua , kenapa gambar dari laporan yang kedua ini tidak berapa jelas dan gelap berbanding gambar dari laporan pertama yang jelas? Kenapakah asal saja ada gambar misteri mesti kualitinya jadi begitu.
Terpulanglah kepada anda yang membaca untuk mempercayainya atau tidak. Sememangnya kewujudan makhluk halus ini tidak boleh disangkalkan , kerana selain manusia Allah juga mencipta jin sepertimana yang tercatat di dalam Al-Quran. Jin-jin ini ada pelbagai jenis dan bangsa , malah iblis dan syaitan pun tergolong dikalangan mereka.
Bagi aku , memang tidak lain dan tidak bukan , tujuan akhbar itu mensensasikan cerita berkenaan adalah semata-mata untuk menaikkan ratingnya.
Wallahu'alam....
tandatangan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KLIK UNTUK TINGGALKAN KOMEN ANDA