Ahad, 29 Januari 2012

Imej Manusia Pertama Di Dunia Fotografi


Salam kepada semua,


Tahukah anda foto di atas ini ialah merupakan gambar foto pertama di dunia di mana terdapat imej manusia terakam dalamnya (bulatan merah). Foto berkenaan dirakam oleh seorang lelaki  Perancis bernama Louis Daguerre di kawasan Boulevard du Temple, di kota Paris pada tahun 1838. Louis Daguerre ialah antara perintis fotografi awal dunia yang telah mencipta satu proses iaitu daguerreotype dalam bidang fotografi.

Sepatutnya di dalam gambar berkenaan terdapat ramai lagi manusia di dalamnya ketika kesibukkan ja;anan di Paris ketika itu, tetapi oleh kerana kamera pada awalnya yang diciptakan pada masa berkenaan hanya mampu menggunakan teknik 'long exposure' iaitu pendedahan lama sebelum imej muncul di kepingan plate besi ( pada masa tersebut filem belum dicipta lagi ).

Louis Daguerre terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit untuk merakamkan gambar ini, maka imej manusia lainnya tidak kelihatan kerana mereka semua sentiasa bergerak dan tidak duduk setempat melainkan imej seorang lelaki yang kelihatan dalam keadaan pegun ( still ) kerana ketika itu kasutnya sedang digilapkan oleh seorang tukang kasut jalanan. Malangnya, identiti model tersebut tidak diketahui sehingga kehari ini.



Kemudian pada tahun 1839, iaitu setahun selepas foto pertama yang ada imej manusia dirakam , seorang lagi perintis fotografi terawal dunia iaitu Robert Cornelius telah berjaya merakamkan imej penuh untuk manusia yang pertama ( rujuk gambar di atas).

Dan ia bukan sekadar foto potret pertama di dunia , malahan juga ia dikatakan foto candid yang pertama sehinggakan Cornelius digelar sebagai 'Bapa Candid' , dan juga 'self portrait' yang pertama iaitu potret dirinya sendiri. Dia berjaya merakamkan gambar berkenaan di Chestnut Street, Philadelphia, Amerika Syarikat.

Wallahu'alam....



tandatangan

Rabu, 25 Januari 2012

Jom Pakat-Pakat Pi Naik Menara Alor Setar...


Salam kepada semua,

Mungkin ada di antara anda yang pernah berkunjung ke Menara Alor Setar. Kepada yang tidak berkesempatan , mungkin entry ini akan membuatkan hati anda supaya lebih teruja untuk menikmati keindahan panorama dari Menara Alor Setar.

Sedikit info mengenai Menara Alor Setar. 

Menara Alor Star yang berketinggian 165.5 meter yang dimiliki oleh Telekom Malaysia (TM) telah dibuka secara rasminya untuk kunjungan umum pada 14 Ogos 1997 dan ia merupakan menara telekomunikasi yang ke 19 tertinggi di dunia, dan yang kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur.


Anda akan tertarik dengan keindahan lanskap yang terdapat di sekitar perkarangan Menara Alor Setar ini di mana terdapat sebuah taman bunga dan permainan untuk kanak-kanak yang terletak bersebelahan dengannya. Ia amat sesuai untuk riadah seisi keluarga selain menjadi antara salah satu spot yang menarik untuk tujuan fotografi.


Untuk berada di bahagian atas Menara Alor Setar , anda dikehendaki untuk membeli tiket masuk dengan bayaran sebanyak RM 6 untuk orang dewasa dan RM 3 untuk kanak-kanak. Tiket tersebut boleh dibeli di kaunter yang terletak betul-betul di bawah Menara Alor Setar ini.


Jangan bimbang sekiranyan anda memerlukan bantuan atau pertanyaan kerana keramahan dan layanan mesra kakitangan Telekom Malaysia yang bertugas di Menara Alor Setar ini yang sedia membantu anda pada bila-bila masa.




Sementara menantikan ketibaan lif yang akan membawa anda ke bahagian atas Menara Alor Setar , anda boleh membelek-belek koleksi barang-barang yang dipamerkan di bahagian lobi berdekatan yang menerangkan serba sedikit maklumat mengenai Menara Alor Setar selain juga terdapat beberapa jenis barangan yang boleh dijadikan sebagai cenderahati.


Terdapat dua buah lif yang beroperasi di Menara Alor Setar ini dan ketika berada di dalam kedua-duanya anda dapat melihat ke bahagian luar menara kerana dindingnya diperbuat dari kaca dan anda akan merasai sedikit daya G-force kerana ia akan bergerak agak laju dan terus mendaki sehingga 100 meter ke bahagian atas! 

Di bahagian atas Menara Alor Setar terdapat empat platform (pelantar). 



Platform pertama dibuka kepada pelawat untuk menikmati pemandangan bandaraya Alor Setar dan kawasan sekitarnya sejauh mata memandang dari ketinggian kurang dari 90 meter. Selain itu terdapat gerai menjual cenderamata dan makanan ringan di bahagian tersebut. 




Ruangan pemerhati ini berbeza dengan apa yang terdapat di Menara Kuala Lumpur kerana ia 'terbuka' , di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan secara 'live' aktiviti harian warga Alor Setar sambil dapat menghirup udara segar kerana ruangan ini hanya dipagari  dengan pagar besi sebagai langkah keselamatan. 

Terdapat 6 teropong yang disediakan di sekeliling ruangan pemerhati ini dan ia adalah percuma (dulu kena bayar!) dan anda boleh menggunakannya untuk melihat secara dekat pemandangan-pemandangan menarik di luar sana. 




Platform kedua terletaknya Restoran Berputar di mana anda boleh menikmati menu hidangan tempatan sambil   tempat makan anda berputar 360 darjah secara perlahan-lahan. Platform ketiga pula terdapat ruangan yang serba lengkap dengan kemudahan untuk seminar dan mesyuarat. Manakala di Platform keempat pula merupakan 'Open Deck', tanpa pagar , dan di situ selalunya berlangsung aktiviti terjunan tahunan BASE (Buildings, Antennae, Spans and Earth). 

Wassalam....

tandatangan

Ahad, 15 Januari 2012

Hebatnya Masjid Terapung Tanjung Bunga


Salam kepada semua,

Baru-baru ini aku berkesempatan untuk singgah dan bersolat Asar di Masjid Terapung di Tanjung Bunga , Pulau Pinang ketika kunjungan aku ke pantai peranginan Batu Feringgi atas satu urusan kerja.

Walaupun teramat singkat singgahan ke situ , sempat juga aku mengambil beberapa keping foto untuk dijadikan kenang-kenangan dan dikongsikan bersama anda sebagai tampalan entry kali ini.


Masjid Terapung ini dibina di atas permukaan laut sejauh 300 meter dari kawasan pantai kaya dengan ciri-ciri senibina moden yang berkonsepkan "mutiara' selari dengan jolokan Pulau Pinang yang dikenali sebagai negeri Pulau Mutiara.

Keunikkan dan kecantikkan masjid ini yang dikatakan mampu untuk memuatkan lebih kurang 1000 orang jemaah ini  di ruangan solatnya juga menarik perhatian para pengunjung yang datang tidak kira dari dalam ataupun luar negara.


Jadi ia sesuatu yang tidak menghairankan sekiranya terserempak dengan beberapa orang pelancong berbangsa Eropah yang berpakaian tidak menutup aurat bersiar-siar di kawasan persekitaran Masjid Terapung ini.

Walaupun begitu sekiranya mereka ingin memasuki ke bahagian dalam masjid , jubah dan tudung disediakan untuk mereka  untuk menjaga adab dan kesucian rumah Allah ini.


Keunikan  Masjid Terapung diperkukuhkan lagi dengan menara azan setinggi tujuh tingkat yang dihiasi dengan ukiran kayu jati dan seni khat kaligrafi dari Indonesia. Mozek dan seramik yang berwarna-warni terdapat di bahagian luar dan dalam masjid untuk memberi pencahayaan dan hasil yang lebih menarik apabila dipandang selain memasang siling putih di bahagian kubah.


Bagi mencantikkan lagi kawasan Masjid Terapung , reka bentuk tembok pagar bercorak bunga matahari dipasang di sekeliling dan kawasan pintu hadapan masjid tersebut. Hampir setiap hari, Masjid Terapung mengadakan program dan aktiviti keagamaan seperti kelas tajwid, hadis, tauhid, fardu ain dan bacaan Yasin oleh guru-guru agama dari sekitar negeri Pulau Pinang.


Tanjung Bunga di mana terletaknya Masjid Terapung ini sememangnya popular di kalangan penduduk dan pelancong sebagai pantai perkelahan dan juga destinasi makanan laut kerana wujudnya perkampungan nelayan tradisional yang sudah turun-temurun menangkap ikan menggunakan bot-bot kecil.


Peristiwa tsunami yang melanda negeri di utara Semenanjung pada 26 Disember 2004, membuktikan Masjid Terapung kukuh dari segi binaannya dan ia bukan sahaja terselamat daripada bencana tsunami tetapi juga menjadi benteng penahan ombak yang mungkin boleh mengakibatkan kemusnahan lebih teruk dialami penduduk kampung sekitar Tanjung Bunga.

Subahanallah!


tandatangan

Ahad, 8 Januari 2012

Jom Singgah Ke Pekan Rabu


Salam kepada semua,

Bagaikan tidak lengkap lawatan anda ke Kedah , terutamanya ke bandaraya Alor Setar sekiranya anda tidak berkesempatan singgah ke Pekan Rabu.

Itulah yang boleh disimpulkan kepada mereka yang pertama kali berkunjung ke negeri Jelapang Padi ini kerana Pekan Rabu adalah merupakan antara tempat yang menarik untuk anda lawati kerana ia merupakan sebuah pusat perniagaan orang Melayu yang tersohor sejak tahun 1930-an lagi.



Mempunyai sejarahnya yang unik dan tersendiri , Pekan Rabu jugalah merupakan 'pentas awal' bagi mantan Perdana Menteri Ke-4 , Tun Dr. Mahathir Mohamad menceburi diri di dalam dunia perniagaan.

Perniagaan yang diceburi oleh beliau ketika itu ialah menjual beras.


Perubahan demi perubahan seiring peredaran zaman telah memantapkan lagi kemudahan infrastruktur di kompleks perniagaan bumiputera yang terbesar di utara tanahair ini. Jikalau dahulunya , aku masih ingat lagi sekiranya kita turun dari bas di perhentian di seberang jalan Pekan Rabu , kita terpaksa mendaki anak-anak tangga jejantas yang agak tinggi juga untuk melintas ke Pekan Rabu.

Kini ia cuma tinggal kenangan manis yang boleh diceritakan oleh generasi muda sekarang bilamana adanya kewujudan sebuah 'eskalator' (tangga karan kata orang-orang Kedah) yang memberikan kemudahan kepada para pengunjung.



Dahulu juga sekiranya berjalan di atas jejantas yang lantainya dari kepingan papan , anda boleh melihat samar-samar kenderaan yang lalu di bawahnya dengan panas matahari membakar anda kerana ia tiada berbumbung.Tapi kini segala-galanya sungguh selesa.



Sebenarnya , kenangan di Pekan Rabu ini juga turut kekal terpahat di ingatanku kerana ia juga merupakan tempat pertama aku bekerja setelah aku menamatkan alam persekolahan aku dahulu. Walaupun tempohnya cuma beberapa bulan sahaja , namun pengalaman berharga yang aku kutip ketika menjadi pembantu di kedai minuman emak saudara benar-benar menyediakan aku untuk mengharungi realiti kehidupan ketika itu.




Pelbagai jenis kedai yang terdapat di Pekan Rabu , dari menjual pakaian , barangan kemas dan perhiasan , ubat-ubatan , buku-buku , makanan dan kuih-kuih tradisional (seperti kuih bahulu , kuih karas , emping beras , air gamat) , hinggalah ke barangan moden dan antarabangsa seperti seluar jeans , jersi bola , handphone dan peralatan muzik. Dan ia seratus peratus diusahakan oleh orang Melayu.




Pekan Rabu menjadi tumpuan masyarakat berbilang kaum dan pelancong dari dalam dan luar negara yang singgah untuk mencari sesuatu untuk dijadikan cenderamata atau buah tangan untuk dibawa pulang sebagai kenangan.




Apabila menjelangnya sesuatu perayaan yang seperti Hari Raya Puasa , Pekan Rabu dan kawasan persekitarannya akan menjadi sesak dengan gerai-gerai yang dibuka menjual persiapan raya seperti kuih-muih dan pakaian.

Begitu juga apabila tiba musim Haji , bakal-bakal jemaah yang akan pergi mengerjakan Haji di Tanah Suci akan singgah ke Pekan Rabu untuk mencari kelengkapan Haji.

Begitulah dekatnya Pekan Rabu di hati masyarakat tempatan.


Pelbagai jenis barangan yang dijual di sini. Dari produk buatan tempatan hinggalah kepada produk yang diimpot dari luar negeri.


Kebanyakkan peniaga di sini masih mengamalkan lagi konsep tawar-menawar di dalam menjual barangan mereka.

Sekiranya anda bernasib baik , anda akan dapat membeli pada harga yang berpatutan sekiranya anda pandai dalam tawar-menawar dengan peniaga. Namun bukan semua barangan yang harganya boleh ditawar.

  
Kalau hendak diikutkan banyak lagi perkara-perkara menarik yang hendak aku ceritakan mengenai Pekan Rabu ini tetapi tidak mungkin akan dapat aku huraikan satu persatu di ruangan ini.

Jadi , kepada anda yang belum pernah menjejakkan kaki ke Pekan Rabu , jikalau anda berkunjung ke Kedah , janganlah lupa untuk singgah ke Pekan Rabu untuk merasai suasananya.

Mai Cek Oi Mai Cek Mai!!!

Wassalam.

tandatangan