Salam kepada semua,
Al-Fadhil Ustaz Muhammad Kazim Elias Al Hafiz adalah antara tokoh pendakwah bebas di negara ini yang aku minati dan boleh dikatakan aku sering mengikuti siri ceramah dan kuliahnya , sama ada secara langsung ataupun melalui VCD dan juga di Youtube.
Sikap gemar mengejek dan merendahkan keperibadian atau memaki hamun orang lain bukanlah merupakan cara penyampaian pengetua Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi , Perak ini. Malah hampir di dalam setiap ceramah atau kuliahnya , beliau sering berjenaka dan kadang-kala akan bernyanyi untuk memeriahkan suasana dan menarik perhatian hadirin.
Selama aku mengikuti siri ceramahnya, pendekatan beliau dilihat tidak menyebelahi kepada mana-mana pihak , kerana secara peribadinya aku melihat beliau berpegang kepada prinsip jika sesuatu perkara itu betul dia akan kata betul , dan yang salah dia akan kata salah tanpa melihat sesuatu kepentingan di dalam sesuatu isu tersebut.
Namun disebabkan itu , mulalah ada pihak yang berasa tidak puashati dengan pendekatan tersebut , kerana apabila beliau menegur atau memberikan pandangan beliau dari sudut agama mengenai sesuatu isu yang melibatkan individu atau kelompok tertentu. Malah ada yang sanggup untuk memfitnah beliau dan ahli keluarganya selain mengatakan bahawa beliau ini kononya telah dibeli dan 'pro' kepada sebelah pihak tertentu sahaja (sedangkan mana-mana pihak yang tak betul , dia hentam sama saja).
Malah ada juga dari kelompok tersebut yang menggelarkan beliau dengan gelaran seperti Al-Kazib , Ustaz Power Rangers dan lain-lain gelaran yang tidak sepatutnya dilemparkan terhadap sesama muslim. Dan ada juga suara-suara dan tulisan-tulisan yang mengutuk dan mendoakan sesuatu yang tidak baik berlaku terhadap beliau lantaran teguran-teguran yang beliau suarakan itu. Astaghfirullahal Azim....
Yang menyedihkan ialah apabila ada sesetengah masjid dan surau di mana Ustaz Kazim dijemput untuk mengajar telah menghentikan kuliah bulanannya dengan memberikan pelbagai alasan.
Baru-baru ini kebetulan waktu aku pulang ke rumah ibubapaku, aku ada menghadiri kuliah bulanannya di Masjid Al-Bukhary , Alor Setar. Sepanjang kuliah bulanannya di masjid tersebut kira-kira dua tahun lalu , aku kira empat kali juga aku berkesempatan mengikutinya.
Tetapi malam itu merupakan kuliah bulanannya yang terakhir di masjid tersebut dan juga di negeri Kedah amnya. Ini kerana seperti yang aku nyatakan di atas tadi , ada yang enggan menyambung lagi pengajian agama dengan beliau kerana beliau tidak menyatakan pendirian di sebelah mana beliau berpihak.
Dalam kuliah terakhirnya itu , beliau mendedahkan bahawa beliau telah menerima pelbagai kecaman dari pihak-pihak yang beliau sifatkan mempunyai pemikiran jumud yang 'menasihatkan' beliau supaya tidak menyentuh isu-isu tertentu di dalam ceramah dan kuliahnya.
Malah ada pihak-pihak tertentu yang mengoyak poster-poster ceramah yang melibatkan beliau dan ada yang lebih teruk lagi sehingga ada yang mengugut untuk menganiaya beliau secara dalam bentuk fizikal.
Perkara-perkara sedemikian (halangan-halangan) bukanlah dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai pegangan agama tetapi ianya datang dari mereka yang mendakwa menjadikan agama Islam sebagai asas hidup dan perjuangan. Mengapakah mereka tergamak untuk melakukan perkara-perkara sedemikian hanya kerana terdapat perbezaan dalam segi pandangan dan fahaman tertentu?
Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Sepatutnya umat Islam seharusnya membuang jauh-jauh kesemua perbezaan yang terdapat sesama umat Islam dari segi fahaman dan ideologi tertentu di dalam mencari dan menuntut ilmu terutama sekali apabila ia melibatkan isu mengenai agama.
Umat Islam harus juga saling tegur menegur dan nasihat menasihati untuk memperbetulkan antara satu dengan yang lain kerana kita semua adalah bernaung di bawah satu naungan kalimah syahadah yang sama. Bukanlah dengan menyemai sikap bermusuhan antara sesama sendiri dan akhirnya menyebabkan umat Islam semakin berpecah-belah.
Dan dalam tahun 2013 nanti , Ustaz Kazim telah menyatakan bahawa beliau akan berhenti untuk memberikan ceramah dan kuliahnya di seluruh negara kerana beliau telah merasa bosan dan muak dengan melayan sikap-sikap dan pemikiran yang jumud di dalam segelintir umat Islam negara ini yang begitu taksub.
Pada pendapat aku yang serba kekurangan ini , umat Islam di negara ini masih memerlukan kehadiran seorang tokoh pendakwah seperti Ustaz Kazim dan diharap supaya beliau dapat mempertimbangkan semula hasratnya itu untuk 'bersara'. Biarkanlah mereka yang nak memboikot atau menyekat Ustaz , kerana ramai lagi dari kalangan umat Islam di negara ini yang memilih untuk mengikuti pengajian dengan Ustaz dan ini terbukti dengan kehadiran para hadirin yang memberangsangkan di setiap ceramah.
Wallahualam...

Harap ada yang tinggalkan komen yang menggunakan akal , bukannya emosi.









Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Dari Anda Amatlah Di Alu-alukan...
Sila Tinggalkan Apa Saja Komen Anda Di Sini...