Salam 2 all,
Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu mengenai kisah ini.
Tugu Negara ( National Monument) yang selalu menjadi venue untuk program sempena memperingati Hari Pahlawan (kini tidak lagi kerana venue sambutan Hari Pahlawan tahun 2010 diadakan di Putrajaya ) yang bertujuan untuk mengenang jasa-jasa dan pengorbanan para wira dan pejuang yang telah gugur untuk mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanahair kita yang tercinta ini pernah dimusnahkan oleh satu serangan gerila yang dilancarkan oleh Komunis pada tahun 1975.
Tugu yang dibina dan dibuka secara rasminya kepada orang ramai pada 8 Februari 1966 telah dibom pada 26 Ogos 1975 kerana pengganas komunis menganggap merekalah pejuang negara yang sejati dan langkah kerajaan yang mengiktiraf patriot bangsa itu jelas sekali telah merobek perasaan pengganas komunis yang berasa begitu terhina dengan simbol patung pengganas yang rebah menyembah bumi manakala patung askar berdiri teguh memegang senjata dan bendera negara manakala satu patung lagi memangku rakan mereka yang tercedera.
Kejadian pengeboman itu berlaku sekitar jam 5 pagi memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh daripada kedudukan asal. Pengganas komunis merancang untuk meletupkan Tugu Negara pada tepat jam 6 pagi iaitu ketika sesi tiupan biugel yang diadakan di situ dan sasaran mereka ialah untuk membunuh semua anggota keselamatan yang akan mengambil bahagian dalam perbarisan, tetapi malangnya cubaan mereka itu gagal.
Mereka merancang untuk meletupkan tiga bom yang diletakkan di situ, tetapi satu daripada tiga bom itu meletup lebih awal yang meruntuhkan satu patung besar yang beratnya dianggarkan satu tan.Letupan kuat itu menggegarkan kawasan perumahan di sekitar Taman Bunga dan sebahagian daripada tingkap rumah mereka pecah akibat gegaran letupan. Antara yang turut mendengar letupan itu ialah Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran kawasan Tugu Negara ketika beliau bangun untuk menunaikan solat Subuh.
p/s: Gembira yang teramat bila tahun 2010, upacara pengalungan bunga di Tugu Negara sempena Hari Pahlawan telah diubah lokasinya ke Putrajaya. Diharap ia dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun seterusnya kerana upacara yang penuh adat-istiadat ketenteraan tahunan ini haruslah tidak mempunyai unsur-unsur syirik dan khurafat.Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan selaras dengan tuntutan Islam untuk memperingati dan mengenang jasa-jasa pahlawan tanahair.
Tahniah kepada pihak berkenaan yang telah membawa perubahan sedemikian.
Wassalam.

































