Isnin, 26 Disember 2011

Meninjau Panorama Alor Setar Dari Menara Tanjung Chali



Salam kepada semua,

Anda mungkin sudah sedia maklum mengenai bandaraya Alor Setar yang terkenal dengan menara yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu Menara Alor Setar.

Namun jika anda ingin menikmati panorama bandaraya Alor Setar secara percuma, mungkin ada yang tidak tahu bahawa Alor Setar juga mempunyai sebuah lagi menara yang sesuai untuk meninjau , walaupun ia tidaklah setinggi dan megah seperti Menara Alor Setar , namun pengalaman untuk berada di puncaknya sungguh mempersonakan.


Inilah menara yang dimaksudkan , Menara Pemerhati yang terletak di Dataran Tanjung Chali yang berada di pesisiran Sungai Kedah. Menara ini yang setinggi hampir 6 tingkat bangunan terletak betul-betul di persimpangan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit dan tidak jauh dari pusat bandaraya Alor Setar.


Apabila anda mendaki anak-anak tangga di dalam menara ini , anda mungkin akan merasa teruja apabila semakin tinggi pendakian anda , semakin jelas dan indah pemandangan panorama yang dapat anda lihat.



Di menara ini terdapat sebanyak 3 ruang pemerhati yang disediakan pada ketinggian yang berlainan dan di situ ia membolehkan anda menikmati pemandangan seluas 360 darjah mengelilingi ruang legar tersebut.




Dari puncak menara , anda dapat melihat pemandangan bangunan-bangunan yang menjadi mercutanda bandaraya Alor Setar seperti Menara Alor Setar dan juga Masjid Zahir.




 Manakala di satu bahagian yang lain pula anda akan dapat melihat pemandangan permai aliran Sungai Kedah yang mengalir dari hulu ke muaranya.


Jikalau anda menjenguk ke bawah , anda akan dapat menyaksikan pelbagai ragam dan akitiviti penduduk di kawasan sekitar menara ini .





Oleh kerana menara Tanjung Chali ini terletak di kawasan Pekan Cina , kawasan persekitarannya amat sibuk dengan pelbagai akitiviti perniagaan terutama sekali pada hari biasa. Jikalau ada cuti umum , ia adalah waktu yang terbaik buat anda untuk ke sini.




Di bahagian bawah terutamanya di kawasan datarannya, ia menjadi antara lokasi pilihan untuk sessi fotografi terutamanya kepada pasangan pengantin baru untuk mengabadikan kenangan pada hari bersejarah mereka di sini.


Selain itu ada juga jurufoto yang datang ke sini semata-mata untuk mencari 'shoot' yang terbaik seperti yang dilakukan oleh abang kita ni....




Anda juga boleh bersiar-siar mengambil angin petang sambil berjalan kaki ataupun melakukan senaman di persiaran kaki yang dibuat di sepanjang kedua-dua belah bahagian kiri dan kanan Sungai Kedah ini.



Kepada mereka yang sukakan aktiviti memancing ikan , Sungai Kedah juga adalah lokasi pilihan bagi para pemancing dan anda boleh mencubanya sambil berehat-rehat bersama keluarga di pondok-pondok yang disediakan.


Jadi sekiranya anda berpeluang untuk berkunjung ke bandaraya Alor Setar , jangan lupa untuk singgah di Menara Tanjung Chali ini .

Wassalam....

tandatangan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KLIK UNTUK TINGGALKAN KOMEN ANDA